Tazkirah Remaja: Rugi jadi ‘hamba Ramadan’
Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan Ramadan, malah ‘The Real Battle’ ialah 11 bulan selepas bulan Ramadan.
Ada orang, dalam bulan Ramadan pergi ke surau dan masjid tiap-tiap malam tetapi kalau selesai Ramadan terus tidak pergi ke masjid dan surau. Itu namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah.
Sekiranya bulan Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, habis tidak baca-baca lagi al-Quran dan itu juga namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah.
Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajjud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi. Itu pun satu lagi namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah.
Maaf kerana saya guna perkataan agak kasar sedikit. Tetapi apabila difikirkan mengenai kemunafikan kita beribadat, rasanya sekali-sekala terpaksa berkasar sedikit. Ini bukan apa, cuma nak menggugah hati yang tidak terikat dengan roh Ramadan.
Ungkapan mengenai hamba Ramadan sebenarnya nasihat daripada ulama semasa dan amat kontemporari iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan: “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan.” Maksudnya, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan, berbuat baik bukan hanya bermusim.
Pergi ke masjid dan surau bukan ikut angin (mood) kita atau tengok ramai orang pergi, kita pun pergi juga, tetapi apabila orang sudah mula tidak pergi lagi ke masjid, kita jadi hilang semangat.
Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa hanya pada satu bulan saja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita semua tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hidup 30 hari setahun?
Anak yatim sama juga macam kita, mereka hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan, montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula mereka.
Sumber Asal: Mohd Zawawi Yusoh (Harian Metro)